Oleh: Ustaz J ( 25 Jun 2009 )
Baru-baru ini pada 20 Jun 2009 telah diadakan upacara mengambil keputusan rasmi dan diskusi akademik diantara ibubapa, guru dan putera yang telah diadakan di dewan Tun Templer. Terima kasih kepada ibubapa / penjaga putera yang sudi hadir. Tahniah diucapkan juga kepada semua putera kerana berjaya menjalani peperiksaan dan mendapat keputusan yang baik dan memberangsangkan. Berikut disenaraikan 10 putera terbaik peperiksaan tersebut dari kalangan tingkatan 4 dan 5.
Putera Tingkatan 4.
Putera Tingkatan 4.
Putera-putera diharapkan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki pencapaian akademik masing-masing. Utamakan pelajaran dan sentiasa ikhlas dalam amalan. Semoga berjaya.
Oleh: Bilal Malam Jumaat ( 22 Jun 2009 )
Pertandingan Nasyid Kontemporari Karnival Pendidikan Anti Dadah Peringkat Kebangsaan 2009 telah menyaksikan bahawa bendera negeri Kelantan yang berkibar sebagai simbol memenangi pertandingan tersebut. Tahniah diucapkan.. Bagi putera MTD yang mengambil bahagian dalam acara tersebut, jangan kecewa dan putus asa. Tahun depan cuba lagi.. Bukan itu saja, kekalahan baru-baru ini (naib johan) pada 20 Jun di peringkat zon dalam Festival Nasyid Zon Bangsar KL juga janganlah dijadikan racun perosak kepada semangat kalian selama ini.. Yang penting mesej dakwah dapat disampaikan. Bak kata kumpulan Inteam pada hari tu, "nyanyilah dengan hati". Semoga berjaya di peringkat Negeri KL pada 4 Julai nanti di SM Sains Seri Puteri KL.
Oleh: PPI (15 Mei 2009)
Pada 13 Mei 2009 yang lalu, Maktab Tentera Diraja telah mewakili Zon Bangsar dalam dua kategori di Majlis Tadarus al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah diadakan di SM Sains Alam Shah Cheras. Pasukan kuiz agama telah mendapat tempat sebagai naib johan dalam pertandingan tersebut. Bagi kategori syarahan Bahasa Inggeris pula, PRK Mohamad Al Ash bin Khalid telah mendapat tempat sebagai johan. Kemenangan ini juga telah mengulangi kejayaan beliau yang diciptakan tahun 2008. Tahniah diucapkan buat PRK Mohamad Al Ash bin Khalid , peserta kuiz iaitu PRM Syahin, P/Sjn Amirul Muttaqin, PK Syahid Jafri, PK Dzulhareez dan guru pembimbing ustaz Zainuddin Mat Amin yang telah berjaya mengharumkan nama Maktab Tentera Diraja.
Oleh: PPI (30 April 2009)

Bersandarkan kepada dua buah lagu iaitu Masyarakat Madani Tanpa Dadah dan Irama Kesyukuran serta sokongan dan doa warga MTD akhirnya kumpulan nasyid MTD, Al-Furqan berjaya merangkul kejuaraan di peringkat negeri dalam pertandingan nasyid kontemporari Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah yang telah berlangsung pada 25 April 2009 di Taman Tasik Titiwangsa. Sebelum itu, di peringkat zon kumpulan Al-Furqan mendapat tempat sebagai johan dan disusuli oleh pasukan ePPDa (multimedia) (Naib Johan), dikir barat (saguhati) dan melukis poster (saguhati). MTD akan mewakili Kuala Lumpur dalam acara nasyid kontemporari PPDa di peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Sg Petani Kedah pada awal Jun ini. Tahniah kepada Al-Furqan dan putera yang mewakili maktab dalam Karnival PPDa tahun ini.


oleh: PPI (30 April 2009)
Pada 25 April 2009 (Sabtu) Persatuan Pelajar Islam Maktab Tentera Diraja telah menyertai Majlis Tadarus al-Quran (MTQ) 2009 zon Bangsar. Kontingen ini telah diketuai oleh ustaz Zainuddin Mat Amin. MTD telah mengambil bahagian dalam acara syarahan bahasa Melayu, syarahan bahasa Inggeris, hafazan, azan, kuiz dan tilawah al-Quran. MTD telah berjaya mendapat tempat sebagai johan dalam acara syarahan BI dan Kuiz serta mendapat naib johan dalam acara azan dan hafazan sekaligus menobatkan Maktab Tentera Diraja sebagai Johan Keseluruhan MTQ 2009 Zon Bangsar. Tahniah diucapkan kepada semua putera dan guru yang terlibat. Semoga MTD akan mendapat keputusan yang lebih baik di MTQ peringkat negeri nanti.
Pada 8 April yang lalu, seramai 15 putera dari Persatuan Pelajar Islam telah menyertai Pertandingan Nasyid Kontemporari PPDa yang diadakan di Sekolah Menengah Petaling, Jalan Kelang Lama KL. Pertandingan tersebut telah disertai sebanyak 18 buah kumpulan nasyid dari sekolah-sekolah zon Bangsar. Maktab Tentera Diraja telah mempertaruhkan kumpulan al-Furqan dengan dua buah lagu iaitu Masyarakat Madani Tanpa Dadah dan Irama Kesyukuran akhirnya telah muncul sebagai johan dalam pertandingan tersebut. Pertandingan di peringkat negeri akan diadakan pada 25 April di Taman Tasik Titiwangsa. Semoga kumpulan al-Furqan akan mendapat tempat yang lebih baik pada tahun ini. Sebelum ini al-Furqan hanya mendapat tempat sebagai naib johan negeri pada tahun 2007 dan 2008. Semoga berjaya.